Halaman
▼
Khamis, 7 Jun 2018
3 Fasa Ramadhan Yang Kita Perlu Tahu.
Sebulan itu 30 hari. Rasulullah saw membahagikan Ramadhan kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah rahmat, fasa kedua pula keampunan, dan fasa terakhir adalah perlepasan daripada api neraka. Secara mudahnya, 10 hari pertama adalah untuk rahmat, 10 hari kedua adalah untuk keampunan, dan 10 hari ketiga adalah jaminan perlepasan dari api neraka.
Ramadhan dikurniakan kepada umat Muhammad dengan kelebihan tertentu. Antara yang terdapat dalam bulan ini dan tidak terdapat pada orang-orang terdahulu adalah Lailatul Qadar. Ulamak berpendapat bahawa malam istimewa ini berada di celahan malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Dan juga berada pada malam yang bernombor ganjil seperti 21,23,25,27,29.Wallahu a'lam...
Namun sekali mendapatnya, pasti kita menjadi dalam golongan jutawan beribadah. Yang mana ganjaran semalam beribadah nilainya sama dengan seribu bulan bersamaan 83 tahun.Cukup bernilai hadiah yang dikurniakan Allah buat kita umat Nabi Muhammad SAW.
Keutamaan 10 Hari Pertama
Telah diriwayatkan sebagai hari-hari yang diturunkan rahmat kepada manusia. Yang mana 10 hari pertama dalam bulan Ramadhan ini kita akan dapat banyak limpahan pahala daripada pelbagai amalan yang dilakukan selama berpuasa.
Keutamaan 10 Hari Kedua
Setelah melewati 10 hari pertama Ramadhan, 10 hari selepasnya pula merupakan fasa kedua Ramadhan. Allah banyak memberi maghfirah atau keampunan kepada kita. Inilah saat yang tepat untuk kita perbanyakkan minta ampun daripada Allah atas dosa-dosa kita dan memperbanyakkan zikir. Tiada bulan yang seumpama Ramadhan, maka janganlah kita mensia-siakan nya.Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi.
Keutamaan 10 Hari Terakhir Ramadhan
Bulan Ramadhan merupakan momentum peningkatan kebaikkan bagi orang-orang yang bertaqwa dan ladang amal bagi orang-orang soleh. Terutamanya 10 hari terakhir ini.
Diriwayatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi: "Adalah bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah, dan akhirnya pembebasan daripada api neraka."
Dari ummul mukminin Aisyah ra, menceritakan tentang keadaan nabi SAW ketika memasuki 10 hari terakhir Ramadhan."Beliau jika memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan,mengencangkan ikat pinggang, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya."
Apa pentingnya 10 malam terakhir ini buat baginda? Ada 2 sebab utama:
Pertama
Kerana 10 terakhir ini adalah penutup bulan Ramadhan, sedangkan amal perbuatan itu akan tergantung pada penutupnya atau akhirnya.Rasulullah saw berdoa:
"Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah yang terakhirnya. Dan jadikan sebaik-baik hariku adalah hari dimana aku berjumpa dengan Mu kelak."
Jadi, adalah penting setiap manusia mengakhiri kehidupannnya dengan perbuatan kebaikkan. Kerana boleh jadi ada orang sepanjang kehidupannya penuh kebaikkan tetapi pengakhiran hidupnya dalam keburukan atau kejahatan. Nau'zubillahi min zalik..
Sepuluh akhir Ramadhan ini merupakan pengakhiran bulan ini. Maka hendaklah setiap manusia mengakhirinya dengan penuh amal kebaikkan. Yaitu dengan mencurah segala daya dan upaya untuk meningkatkan amal ibadah seperti bangun sepertiga malam, rajin ke masjid dan membaca al-quran.
Kedua
Kerana 10 hari terakhir Ramadhan ini diduga dengan turunnya lailatul qadar. Allah berfirman dalam kitabNya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah turunkan Al Quran pada malam kemuliaan"
Firman Allah juga :
"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan bagi petunjuk dan pembeza yang hak dan batil"
Dalam hadis pula ada disebutkan: "Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan di dalamnya ada lailatul qadar, malamnya itu lebih baik daripada seribu bulan.Barangsiapa diharamkan darinya maka ia diharamkan mendapatkan kebaikkan seluruhnya. Dan tidak diharamkan kebaikkannya kecuali ia benar-benar terhalang"
Al Quran dan hadis sohih ini menunjukkan bahawa lailatul qadar turun pada bulan Ramadhan dan boleh jadi disepanjang bulan Ramadhan. Lebih-lebih lagi pada 10 terakhir Ramadhan ini.
Sunnah dilakukan pada 10 terakhir Ramadhan
Lakukan qiamullail, sebelumnya dimulai dengan solat terawih penuh khusyuk, membaca alQuran, berzikir kepada Allah, seperti tasbih, tahlil, tahmid, istighfar,doa, selawat kepada Nabi dan melaksanakan kebaikkan yang lain.
Lebih khusus perbanyakkan berdoa yang ma'thur:
Seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Aisyah berkata: "wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui bahawa malam ini adalah lailatul qadar, apa yang harus aku kerjakan? Nabi bersabda: ucapkanlah Ya Allah, Engkaulah yang maha pengampun,Engkau menyukai orang yang meminta keampunan, maka ampinilah aku"
Perlu direnungkan bersama..Janganlah kita jadi hamba Ramadhan tapi jadilah hamba tuhan kerana ada sebahagian manusia sibuk beribadat dalam bulan Ramadhan sahaja. kemudian dia tinggalkan itu semua bersama berlalunya Ramadhan.Allah cinta manusia yang taat sepanjang zaman sebagaimana Allah murka terhadap orang yang bermaksiat di sepanjang waktu.Semoga Allah menerima amal kebaikkan kita semua.
Allahumma ameeennn...
Hamba yang faqir,
Ummu Safura
Ramadhan Kareem..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan